Sedikit waktu lagi sudah hampir masuk waktu Maghrib. Aku berdiri di hadapan beranda rumah sambil memerhati ke arah bendang nun jauh mata memandang. Tiada kelibat Mastura yang sudah puas kupanggil namanya agar pulang. Hari sudah senja.
Sudah puas kuberdiri, aku duduk pula di tepi tangga. Apa? anak dara tak elok duduk tepi tangga? Peduli apa. Aku punya suka. Si Mastura selalu mengejek aku tidak ada orang masuk meminang gara-gara suka duduk tepi tangga. Itu semua kolot. Tak elok percaya.
Aku mengerling ke arah jam dinding dalam rumah. Terpaksa aku jengahkan kepala sedikit. Rambut yang dialun bayu lembut aku sisipkan ke belakang telinga kanan agar tidak mengganggu mataku.
Sudah 6.30 petang. 'Mana dia pergi ni?', gusar hatiku.
Leherku terasa tidak enak. Bengkak thyroid ini masih belum hilang. Doktor kata selagi belum buat pembedahan, aku akan mengalami pelbagai simptom seperti cirit-birit, lemah, cemas dan juga hilang ingatan. Nampak macam terlalu berat dan tak mungkinlah boleh hilang ingatan, tapi baju semalam yang aku pakai pun aku lupa warna apa. Kadang-kala hari pun aku boleh lupa. Dan...
Oh, aku lupa Mastura dah tak ada. Dia kena langgar dengan bas, semalam...
No comments:
Post a Comment